Kota Kinabalu: Persembahan muzikal dan tarian bertemakan Aki Nabalu berjaya menonjolkan kepelbagaian kebudayaan dan tradisi daripada tujuh etnik yang menghuni kawasan sekitar Gunung Kinabalu sempena sambutan Pesta Sabah 2014.
Pesta yang bermula semalam dan berakhir esok itu menyajikan tarian tradisional mengikut kepercayaan, agama dan budaya yang berkait rapat dengan legenda gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, persembahan itu memberi peluang kepada orang ramai melihat keunikan seni budaya masyarakat suku kaum tempatan khususnya masyarakat yang menetap di sekitar Gunung Kinabalu.
“Harapan kita melalui persembahan ini dapat mendidik masyarakat setempat selain mempelajari latar belakang kepercayaan beberapa suku kaum dengan Gunung Kinabalu mempunyai sejarah tersendiri dalam kehidupan seharian penduduk negeri ini.
“Selain itu, saya berharap orang ramai yang hadir melihat sendiri keunikan seni budaya tempatan yang sentiasa disanjung tinggi,” katanya selepas menghadiri pratonton Pesta Sabah 2014 Bersama Media di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah di sini, kelmarin.
Terdahulu, persembahan dimulakan kumpulan mewakili kaum Kadazandusun yang membawakan tarian Pampang diikuti persembahan kaum Dusun Ranau Monolob sebelum kaum Kadazan dari Penampang mempersembahkan tarian Humabot.
Selain itu, acara itu turut dimeriahkan dengan persembahan suku kaum lain seperti Bajau (Mogimbadi), Dusun Tindal dan Iranum termasuk upacara merawat orang sakit kaum Rungus, upacara Mohlukas dari kaum Dusun Lotud serta Mansilad dari kaum Murut Nabai.
Acara kemuncak Pesta Sabah 2014 akan dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
0 comments:
Post a Comment